Subscribe:

Thursday, December 3, 2009

0




Seorang menteri yang tamak dan kaki rasuah selalu sahaja menyusahkan urusan pemerintahan sultan yang adil. Namun, untuk memghukumnya bukan mudah kerana si menteri tersebut mempunyai rangkaian perhubungan yang sangat kuat, sama ada dalam kalangan sesama menteri mahupun angkatan tentera.

Sultan yang adil dan baik hati telah didesak berkali-kali untuk mengenakan tindakan terhadap menteri tersebut. Anehnya baginda tetap sabar sehinggalah pada suatu hari, baginda bertitah kepada menteri.

“Hari ini kamu akan mendapat kurniaan besar daripada beta.”

“Kurniaan apa itu tuanku? Patik sedia menerimanya,” sahut menteri yang tamak itu dengan rasa gembira.

“Beta ingin mengurniakan kamu tanah!” titah Sultan.

“Terima kasih tuanku. Boleh hamba tahu seluas mana tanah itu, tuanku?”

“Begini, selepas Subuh, kamu berjalanlah dari pintu istana ini sejauh mana yang kamu terdaya, dan pulang semula sebelum waktu Zohor.”

“Maksud tuanku?”

“Sejauh mana kamu mampu berjalan dan pulang semula ke istana, maka seluas itulah tanah yang akan dikurniakan kepada kamu.”

Betapa gembiranya menteri yang tamak itu. Namun para pegawai yang lain mencemik. Mengapa Sultan masih bermurah hati kepada nya?

Esok pagi selepas Subuh, dia pun memulakan perjalanan nya ke satu arah. Jauh dan semakin jauh.


Hampir waktu Zohor, para menteri, pegawai istana dan juga Sultan menunggu ketibaan menteri yang tamak itu untuk mengetahui seluas mana tanah yang bakal dianugerahkan. Namun, si menteri tidak juga kunjung tiba. Masuk solat zohor, dan selepas mereka solat berjemaah, menteri yang ditunggu tidak juga kunjung tiba.

Tiba-tiba seorang pengawal datang membawa berita, “Tuanku, menteri telah jatuh pengsan dalam perjalanannya….”

“Perjalanannya pulang atau menjauh dari sini?” Tanya Sultan.

“Dalam perjalanan menjauh dari sini,” Jawab pengawal.

Ha..! Serentak bunyi suara kehairanan bergema memenuhi ruang istana. Jelaslah sifat tamaknya itu mendorongnya pergi jauh dan semakin jauh dan tidak terfikir untuk pulang, hingga akhirnya jatuh pengsan kerana keletihan! Baginda Sultan tersenyum. Dia telah pun menghukum menteri yang tamak itu.

PENGAJARAN:

Orang yang tamak tidak akan cukup dengan sedikit dan tidak akan puas dengan banyak. Tidak menunggu orang lain untuk “menghukum” orang yang tamak sebaliknya sifat tamak itu akan menghukum dirinya.

Followers

 
Copyright 2009 Diari Mahasiswi Pendidik